Pentingnya Mengetahui Keperluan Nutrisi Kanak-kanak

Kanak-kanak Malaysia berumur bawah 12 tahun boleh memiliki tubuh badan yang lebih sihat sekiranya ibu bapa dan penjaga prihatin dengan pengambilan makanan anak masing-masing.

Maklumat mengenai nutrisi optimum yang diperlukan oleh kanak-kanak boleh diperoleh daripada bahagian penjagaan kesihatan dan pendidikan di seluruh negara.

Menurut Kajian Nutrisi Asia Tenggara (Seanuts), kanak-kanak di Malaysia adalah lebih sihat jika dibandingkan dengan kanak-kanak di beberapa negara di rantau ini.

Bagaimanapun, jumlah kanak-kanak yang terlebih berat badan di Malaysia adalah tinggi.

NUTRISI DAN KESIHATAN

Satu kajian mengenai nutrisi dan kesihatan dijalankan di Asia Tenggara, dan hasilnya menunjukkan terdapat kekurangan nutrisi yang agak kritikal dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 12 tahun.

Kajian itu membabitkan lebih 16,500 kanak-kanak berumur antara enam bulan dan 12 tahun dari Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia.

Kajian itu selama dua tahun itu baru sahaja tamat dan ia menumpukan perhatian terhadap isu-isu kesihatan yang penting di negara ini dikenali sebagai ‘lapar tersembunyi’ (hidden hunger).

LAPAR TERSEMBUNYI

Para penyelidik menggunakan istilah ‘lapar tersembunyi’ bagi menterjemahkan kekurangan nutrisi yang tidak boleh dilihat dengan mudah.

Kanak-kanak mungkin nampak seperti sihat atau terlebih makan, tetapi mereka mungkin tidak mendapat nutrisi yang diperlukan oleh badan seperti vitamin D dan kalsium, yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

“Adalah penting untuk melihat dengan lebih dekat lagi tentang apa yang benar-benar diperlukan oleh kanak-kanak dari segi nutrisi,” jelas ketua Sains Nutrisi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Poh Bee Koon.

Prof Poh ialah pengetua penyiasat di Seanuts bagi Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan kepada hasil kajian itu, usaha perlu diambil untuk mendidik orang ramai dan mewujudkan kesedaran mengenai standard nutrisi yang dicadangkan paling sesuai untuk kanak-kanak Malaysia.

Dr Tee E Siong, yang berkhidmat di Persatuan Nutrisi Malaysia (NSM), turut bersetuju dengan pandangan Prof Poh.

“Adalah penting sekiranya hasil kajian ini dikongsi dengan para profesional penjagaan kesihatan, pembuat dasar dan ibu bapa, untuk melakukan perubahan dalam kehidupan kanak-kanak di Malaysia,” kata Dr Tee.

NSM dan UKM menjadi tuan rumah persidangan serantau Seanuts di Malaysia, baru-baru ini.
DATA

Kajian itu ditaja oleh Royal Friesland Campina N.V, bagi meningkatkan tahap kesihatan kanak-kanak di rantau ini.

Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Berhad (anak syarikat Royal Friesland Campina), Rahul Colaco, berkata hasil yang diperoleh daripada kajian itu akan digunakan untuk dimasukkan dalam keperluan nutrisi kanak-kanak bagi produk susu yang akan dihasilkan oleh syarikat.

Data dikutip dari empat negara adalah tertumpu kepada status nutrisi kanak-kanak, penokok dan tabiat diet, selain daripada aktiviti fizikal dan biokimia darah mereka.

Di Malaysia, Seanuts diadakan dengan kerjasama UKM; di Indonesia, ia diadakan dengan kerjasama Persatuan Ahli Gizi Indonesia (Persagi); di Thailand, dengan kerjasama Mahidol University; dan di Vietnam, dengan kerjasama Institut Nutrisi Kebangsaan (NIN) – Vien Dinh Duong.
IMPLIKASI

Di Malaysia, 50 peratus daripada kanak-kanak tidak mendapat jumlah vitamin D yang mencukupi untuk tubuh mereka, berdasarkan Pengambilan Nutrien Yang Dicadangkan (RNI) bagi negara ini, seperti yang disyorkan oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia.

Kanak-kanak juga mengalami kekurangan kalsium.

Sebanyak 50 peratus kanak-kanak tidak mengambil jumlah kalsium yang secukupnya.

Menurut hasil kajian itu juga, satu daripada setiap 10 kanak-kanak di kawasan bandar di Malaysia menunjukkan tanda-tanda kekurangan nutrisi berdasarkan nisbah berat badan dan umur.

Peratus kanak-kanak luar bandar yang mengalami kekurangan nutrisi adalah sedikit rendah daripada jumlah yang ditetapkan.

“Adalah tidak begitu mahal untuk makan makanan yang sihat. Malahan memakan pelbagai jenis makanan adalah penting dan ini termasuk ikan dan sayur. Susu juga amat penting,” kata Dr Tee.
PENGAMBILAN KALSIUM

Kalsium dan vitamin D adalah perlu untuk perkembangan fizikal. Ia juga penting untuk tulang yang sihat.

Pengambilan nutrien yang tidak mencukupi akan menganggu perkembangan minda dan keupayaan intelektual kanak-kanak. Ini seterusnya akan menghalang kanak-kanak daripada melalui pertumbuhan fizikal yang sempurna.

Bagi setiap 10 kanak-kanak, seorang kanak-kanak di Malaysia tidak mempunyai pertumbuhan fizikal yang baik.

Manakala seorang daripada lima kanak-kanak menghadapi masalah terlebih nutrisi.

Prof Poh menasihati ibu bapa agar mengajar anak mereka untuk memakan makanan yang sihat, bagi memastikan pengambilan nutrisi yang mencukupi untuk badan mereka.

Secara ini, pertumbuhan fizikal mereka tidak akan terjejas, katanya.

PENGUKURAN PERTUMBUHAN

Sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan pengambilan nutrisi yang diperlukan oleh badan anak mereka adalah mencukupi.

Langkah mengambil dua gelas susu setiap hari sememangnya amat digalakkan bagi kanak-kanak yang masih bersekolah.

“Ibu bapa hendaklah memberi perhatian kepada keperluan nutrisi anak kerana ia amat penting. Susu juga adalah penting kerana ia pelengkap makanan.

“Susu penting untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Pengambilan makanan mengikut diet seimbang adalah juga penting. Tabiat baik berhubung dengan pengambilan makanan hendaklah dididik kepada kanak-kanak sebelum mereka berumur 10 tahun,” kata Dr Tee kepada Bernama.

Untuk mengelak daripada pertumbuhan dan kecerdasan yang terbantut, ibu bapa diingatkan agar melihat kepada keperluan nutrisi anak yang sedang membesar.

Ibu bapa tidak sepatutnya berkompromi berhubung dengan makanan, kata Dr Tee.

“Kanak-kanak memerlukan vitamin D, zat besi dan mineral yang lain untuk menjadikan mereka lebih kuat dan tidak mudah terkena penyakit seperti demam biasa.

“Kekurangan nutrisi boleh mendedahkan kepada satu masalah dan membantutkan perkembangan kanak-kanak, yang tidak dapat dikembalikan semula,” katanya dan menambah bahawa nutrisi yang mencukupi dan sempurna diperlukan untuk kesejahteraan kanak-kanak.

Kredit info:
Islamic Parenting Network

Kredit gambar :
Syazayasmin Makanan dan Amalan Pemakanan